MAC 2022

Kerajaan Sarawak Perlu Kerjasama Sektor Korporat Capai Sasaran Ekonomi Dalam Rancangan PCDS 2030


KUCHING: Kerajaan Sarawak memerlukan kerjasama sektor korporat bagi membantu Sarawak mencapai sasaran ekonomi seperti yang dinyatakan dalam rancangan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sektor korporat ini adalah seperti pemain industri Badan Berkanun serta Syarikat Berkaitan kerajaan (GLCs), pemimpin korporat dan pasukan pengurusan.

Jelasnya, mereka diperlukan untuk menjadi enjin pertumbuhan dan menyumbang kepada aliran hasil negeri dengan menggunapakai model perniagaan baharu untuk menjana Pulangan Pelaburan yang positif (ROI) kerajaan Negeri serta mengguna pakai kejuruteraan semula proses perniagaan yang inovatif melalui penggunaan alat dan teknologi digital untuk berdayasaing dan mencapai pertumbuhan yang mampan.

“Seperti yang dinyatakan dalam rancangan PCDS 2030, Sarawak menyasarkan untuk menggandakan saiz ekonomi kita daripada RM 136 bilion pada 2019 kepada RM 282 bilion pada 2030.

“Untuk mencapai sasaran ini, kita memerlukan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus setiap tahun.

“Kita telah menerimapakai pemodelan kewangan seluruh negeri yang baharu melalui kejuruteraan semula hasil dan kaedah pembiayaan alternatif untuk memastikan kedudukan fiskal yang sihat,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucaptamanya dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Penutupan Forum Kepimpinan Digital “Driving Business In Pandemic Times” di Khazanah Auditorium Asia School of Business, Kuala Lumpur pada Rabu.

Bercakap mengenai forum yang diadakan itu, katanya program berkenaan penting untuk bersama membincangkan cabaran yang dihadapi oleh sektor korporat terutamanya dalam menjalankan perniagaan semasa pandemik.

“Untuk berkembang maju pada masa era digital dan pandemik, tiada satu organisasi boleh bertahan bersendirian dan oleh itu model perniagaan baharu ciptaan bersama, ketangkasan dan perkongsian pintar adalah jalan untuk berjaya,”ujar beliau lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) dan Pengerusi SCOPE Datu Dr. Sabariah Putit.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS